KEPIMPINAN dalam organisasi pendidikan Islam amat menuntut konsep ihsan dilaksanakan secara bijak dan strategik. Apabila hubungan kita dengan Allah menjadi landasan pengurusan setiap pihak berasakan bahawa peranan mereka amat dituntut dalam memenuhi visi dan misi organisasi. Asas jamaii ini adalah teras dalam mencapai kejayaan, kecemerlangan dan barakah.
Kejayaan pelajar tidak hanya diukur daripada sudut pencapaian akademiknya saja tetapi kepimpinan pendidikan Islam menuntut supaya akhlak dan tingkah laku mereka terbina dengan keinsafan bahawa ilmu tidak akan memberi erti apa-apa sekiranya kekuatan nilai dan akhlak tidak menjadi tunjang dalam pembentukan diri seseorang manusia.
PELAJAR sekolah rendah adalah anak yang sedang berkembang daripada segi fizikal, emosi, rohani dan intelek seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tempoh ini adalah tempoh yang begitu mudah untuk anak menerima sebarang pembaharuan dari luar terutama dari mereka yang dianggap guru.
Lantaran itu, mereka perlu diasuh dan dididik dengan baik, berhatihati dan penuh kasih sayang supaya tidak terjebak ke lembah yang tidak diingini. Sewajarnya, kita sebagai pendidik harus berusaha membimbing mereka ke arah mencari keredhaan Ilahi dan mengajar mereka untuk berdoa kerana Rasulullah pernah bersabda seperti yang diriwayatkan at-Tarmizi: ”Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah murka kepadanya.” Di samping itu amalan berdoa juga menjadi senjata mukmin yang sentiasa bersama mereka seperti yang di riwayatkan al-Hakim dan Abu Ya’ala: “Doa itu senjata orang beriman dan tiang agama serta cahaya langit dan bumi.” Anak harus diajar untuk berdoa kepada Allah. Berdoa adalah kemestian bagi setiap mukmin kerana berdoa itu adalah ibadah seperti yang diriwayatkan Abu Daud dan at-Tarmizi.
SALAH satu matlamat pendidikan yang mulia ialah untuk membina kehidupan bermoral. Iaitu kehidupan yang menjunjung prinsip dan peraturan yang harmoni di antara manusia dengan manusia dan di antara manusia dengan ekosistem dan alam. Dengan adanya amalan prinsip dan peraturan yang baik, manusia dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Alam sekitar juga akan terpelihara dalam keadaan yang seimbang dan harmoni.
Pendidikan Malaysia tidak putus-putus memberi fokus dan penekanan yang istimewa terhadap pembangunan moral yang tinggi. Ini patut dihargai dan dibanggakan. Sebagai contoh, dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN-1987) konsep moral tersurat dan tersirat dalam ungkapan “………. untuk mengwujudkan insan yang seimbang dan harmonis”. Lebih tepat lagi konsep moral terangkum dalam istilah seimbang.