KEDAH: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong mengenai tindakan tegas yang akan dikenakan kepada pelajar tidak memakai topi keledar. Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiannya, Roslee Ismail, berkata JPN turut turun padang memantau pelajar yang gagal mematuhi peraturan jalan raya selain mengadakan sesi penerangan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah.
Katanya, JPN sentiasa mengingatkan pelajar supaya mematuhi peraturan yang diterapkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah supaya memandang serius perkara itu.
TERENGGANU: Persaraan bekas Pengetua Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, dekat sini, Azizah Md Salleh diraikan dengan meriah pada awal tahun ini bagi menghargai jasa dan baktinya terhadap pembangunan dan kemajuan pendidikan di sekolah itu.
Selepas lebih 34 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan, Azizah mula bersara pada 1 Januari lalu. Sebelum memasuki dewan, Azizah menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 128 pelajar pasukan badan berunirform sambil diiringi Pasukan Pancaragam Premier.
KUALA LUMPUR: Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menyampaikan sumbangan pakaian dan kelengkapan sekolah kepada 30 kanak-kanak anak yatim, di sini, baru-baru ini.
Presiden WHAM, Fauziah Abd Rauf, berkata aktiviti memberikan sumbangan itu adalah salah satu kegiatan persatuan bertujuan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan. Katanya, WHAM memilih 30 anak yatim berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan mereka turut mendapat sokongan Pasaraya Mydin yang memberi sumbangan berbentuk potongan harga terhadap barangan anak yatim berkenaan yang dibeli di Pasaraya Mydin.