Kekal Sihat Gaya Rasulullah SAW


Dua nikmat yang sering diabaikan oleh manusia iaitu nikmat sihat dan waktu lapang. Nikmat sihat sangat berkait rapat dengan gaya hidup seseorang individu dari aspek pemakanan,aktiviti harian dan persekitaran. Islam mementingkan kehidupan yang sihat, kuat, cergas jasmani dan rohani.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah,sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWTdaripada mukmin yang lemah..” (HR Muslim). Bahkan Nabi Muhammad SAW juga menunjukkan praktikal yang terbaik bagi mengekalkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan.

Di Malaysia, kita berhadapan dengan cabaran yang besar untuk mengekalkan kesihatan kerana Malaysia kaya dengan pelbagai makanan lazat beraneka pilihan dan rasa. Di tambah pula dengan restoran-restoran yang menawarkan perkhidmatan 24 jam sehari menyebabkan kira sering terlupa untuk menjaga kesihatan.

Menginsafi hal ini, marilah sama-sama kita menelusuri bagaimana gaya hidup Rasulullah SAW yang kekal sihat sehingga akhir hayatnya.Sudah tentu aktiviti-aktiviti yang menjadi rutin hidup Rasulullah SAW mengandungi hikmah dan ilmu baharu untuk kita kaji di zaman ini.Oleh itu, artikel ini akan mengupas gaya hidup Rasulullah SAW dari aspek kesihatan melalui aktiviti harian Baginda, jenis-jenis riadah yang diceburi, galakan pelibatan aktiviti riadah dan manfaat disebalik riadah ini.

RIADAH YANG DICEBURI OLEH RASULULLAH SAW

Jika kita perhatikan dalam sirah Rasulullah SAW, jelas menunjukkkan bahawa Baginda merupakan seorang yang sihat, kuat dan cergas. Baginda bukan sahaja berdakwah membawa risalah Islam, tetapi membawa perubahan dalam segenap aktiviti kehidupan,antaranya memperkenalkan aktiviti riadah sebagai cara gaya hidup yang sihat. Pelbagai bentuk riadah yang diceburi dan disarankan kepada umat Islam, antaranya:

1 AMALAN BERJALAN KAKI

amalan paling mudah berimpak tinggi dalam mengekalkan kesihatan dan sememangnya menjadi anjuran pakar pemakanan hari ini. Amalan ini telah diamalkan oleh Rasulullah SAW hampir 1500 tahun yang lalu. Direkodkan dalam hadis dan sirah bahawa Baginda lebih suka berjalan kaki berbanding menunggang kenderaan.Boleh dikatakan seluruh aktiviti harian Rasulullah SAW dilakukan dengan berjalan kaki. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, berkata: “Saya tidak pernah melihat orang yang paling gagah dari Rasulullah SAW,seakan-akan matahari berjalan diwajahnya, dan saya tidak pernah melihat seseorang yang paling cepat jalannya daripada beliau SAW,seakan-akan bumi terlipat untuk beliau.” (HR Al-Tirmidzi)

BERLUMBA LARI 

Hari ini lumba lari diiktiraf sebagai acara utama olahraga peringkat antarabangsa. Ironinya, ia merupakan gaya hidup Rasulullah SAW. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a berkata: “Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya.Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk. Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain:“Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu”.Kemudian baginda berkata kepadaku: “Mari ke sini (baginda mengajak untuk berlumba lari).Aku akan menewaskanmu”.Aisyah berkata: “Lalu aku telah menewaskan baginda. Lalu baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk, dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian musafi rnya. Lalu baginda berkata kepada orang ramai: “Pergi dahulu,lalu para sahabat pun bergerak dahulu”. Kemudian baginda berkata: “Mari ke sini. Aku akan menewaskanmu”. Kali ini, baginda telah menewaskan aku. Baginda pun ketawa dan berkata: “Ini merupakan untuk itu” (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu). (HR ImamAhmad & Abi Daud)

MEMANAH

Mahir memanah bukan sahaja baik dari sudut kesihatan,malah ia anjuran Nabi SAW dan salah satu kaedah dalam berjihad di jalan Allah. Daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar membaca surah al-Anfaal:60, bermaksud: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah,ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah”. (HR Muslim)

MENUNGGANG KUDA

Menunggang kuda boleh dikatakan seperti sukan elit di zaman ini, namun dalam masyarakat Islam dahulu, ia adalah aktiviti harian mereka. Kuda adalah antara binatang kegemaran Rasulullah SAW. Baginda pernah menyatakan kebaikan yang terdapat pada kuda sebagaimana yang direkodkan dalam hadis yang bermaksud: “Kuda yang tersimpul pada ubun-ubunnya segala kebaikan sehingga hari Kiamat” (HR Bukhari).Bahkan Baginda juga memiliki kuda sendiri dan pernah dibawa dalam perlumbaan kuda. Antara pertandingan perlumbaan kuda yang dianjurkan oleh Baginda SAW adalah di Madinah dan perlumbaan dimulai dari Hafiya ke Thaniyyat al-Wada (60 ghalwa = 5 hingga 6 batu)untuk kuda dewasa, dari Thaniyyatal-Wada ke Banu Zurayk (10 ghalwa= 1 batu ) untuk kuda muda. (HR Bukhari).

5  BERENANG

Berenang adalah antara riadah yang turut diminati ramai termasuk kanak-kanak.Berenang ternyata dapat menurunkan kadar stress, menurunkan masalah obesiti dan berbagai lagi. Justeru,ia dianjurkan dalam Islam sebagai terapi diri. Dari ‘Atha` bin Abi Rabah berkata, “Aku melihat Jabir bin ‘Abdillah dan Jabir bin ‘Umair yang keduanya Ansari, sedang memanah.Lalu salah satu dari keduanya duduk,maka ditegur oleh yang lain: “Kau telah malas? Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:“Segala sesuatu yang tidak termasuk zikir kepada Allah, maka ia sia-sia dan permainan belaka, kecuali 4 perkara iaitu: berjalan antara dua sasaran panah (tempat berlatih memanah),melatih kudanya, suami bersenda gurau dengan isterinya, dan mengajari berenang.” (HR Nasa`i)

6 BERMAIN PEDANG

Seni bermain pedang merupakan tradisi sejak zaman berzaman. Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya mempelajari dan mahir bermain pedang. Pernah suatu ketika,Aisyah r.a. menonton bersama Nabi SAW sekumpulan habsyah bermain pedang dalam masjid, dan Rasulullah SAW tidak menegahnya.Ini menunjukkan bahawa seni bermain pedang perlu dipelajari oleh umat Islam.

7 BERGUSTI

Percaya atau tidak?Rasulullah SAW pernah bergusti sebagai salah satu medium berdakwah. Jelas menunjukkan kepada kita bahawa Baginda mengajar kita bahawa medium berdakwah tidaklah hanya tertumpu kepada majlis-majlis ilmu berbentuk ceramah dan kuliyah semata-mata,malah ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara yang lain.

Daripada Ibn Abbas r.a, bahawa Yazid bin Rukanah, seorang pendekar yang terkenal dengan kekuatannya.Dia mencabar Nabi SAW untuk bergusti dengannya.Beliau mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah. Lalu mereka pun bertarung dan baginda berjaya mengalahkannya (Rukanah).Baginda menundukkannya sebanyak 3 kali dalam 3 pusingan berturut-turut.

Akhirnya Rukanah akur dengan kekalahannya lantas berkata:“Wahai Muhammad! Tiada siapapun pernah dapat membaringkan aku sehingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain darimu! Sebelum ini engkaulah yang paling aku benci. Tapi sekarang aku naik saksi tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu RasulNya.” Baginda kemudian telah mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan oleh Rukanah sebagai pertaruhan itu.(HR Abi Daud)

GALAKKAN BERIADAH SEAWAL KANAK-KANAK

Anak-anak membesar mengikut didikan kedua ibu bapa,sekiranya ibu bapa prihatin dengan kesihatan anak-anak,sudah tentu amalan riadah menjadi antara agenda mingguan dalam keluarga. Disamping menyihatkan badan, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Setelah kita ketahui riadah ini adalah anjuran Islam dan Rasulullah SAW sendiri telah memberikan contoh teladan yang baik, adalah digalakkan kita semua dapat mengubah pola kehidupan lama yang kurang beriadah kepada menjadikan agenda beriadah sebagai agenda harian supaya hidup lebih cergas dan sihat disamping mendapat ganjaran pahala kerana berusaha mengekalkan kesihatan untuk beribadah kepada Allah SWT dan mengikut sunnah Rasulullah SAW.

1MURID 1SUKAN

Dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan acara sukan tahunan di sekolah merupakan satu program proaktif dan berkesan agar murid sentiasa sihat disamping memupuk semangat bersukan dalam kalangan murid.

Pelibatan setiap murid dalam pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak sekolah,pasti memberi impak yang baik kepada mereka. Program seperti ini juga bertepatan dengan nilai-nilai Islam yang perlu ditonjolkan kepada murid dalam usaha memartabatkan lima prinsip maqasid syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Bukankah dengan menjaga kesihatan kelima-lima prinsip ini akan tercapai? Bayangkan seseorang yang sakit kerana tidak menjaga kesihatan, kelima-lima prinsip maqasid syariah itu tidak dapat disempurnakan.

Oleh itu, semua pihak memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah keluarga yang sihat. Ia bermula daripada amalan gaya hidup yang sihat sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Sebagai kesimpulan, sukan adalah aktiviti yang dituntut dalam Islam dan ia bukanlah perbuatan yang melalaikan, malah manfaatnya sangat besar kepada kesihatan manusia. Kesihatan yang baik membolehkan manusia melaksanakan pelbagai tugasan dan ibadat dengan sempurna.