Cikgu Tan CL Pencinta Bahasa Melayu


Tika pertama kali bersua muka dengannya, hati mula terdetik rasa kagum terhadap jejaka berbangsa Cina ini. Bukan sahaja tutur katanya yang begitu tersusun cantik, malah diselitkan dengan nada semangat bahasa jelas membuktikan dirinya begitu cinta akan bahasa kebangsaan.

Cikgu Tan Chai Long bukanlah nama yang asing dalam kalangan guru subjek Bahasa Melayu di seluruh negara. Biarpun bukan berbangsa Melayu, kehebatan dan kepakaran beliau dalam subjek Bahasa Melayu begitu dikagumi ramai guru subjek berkenaan.

Mesra dikenali dengan namapena Cikgu Tan CL, beliau merupakan anak kelahiran Johor yang membesar di Lembah Klang. Beliau sangat aktif dan sibuk untuk menghadiri undangan seminar, bengkel,dan ceramah yang dijalankan di sekolah-sekolah di seluruh negara. Jadual beliau yang begitu padat tidak langsung mendatangkan keluhan pada dirinya lantaran rasa sayang terhadap subjek Bahasa Melayu.

Selain aktif dengan perkongsian ilmu, Tan CL juga telah menghasilkan lebih daripada 65 judul buku yang diterbitkan. Selain buku yang diterbitkan oleh penerbit seperti Nusamas, Karangkraf,dan SAP Publication, beliau juga mengeluarkan modul pembelajaran kendiri dalam talian,iaitu sistem pesan hantar dalam talian Shopee.

Minat Subjek Bahasa Melayu

Menurutnya, minat yang mendalam terhadap subjek Bahasa Melayu, komponen sastera (KOMSAS) serta kajian bahasa menyebabkan beliau banyak menghasilkan buku modul untuk kegunaan sekolah. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika sebut sahaja namanya, ramai yang membuka mulut mengakui mengenali akan dirinya, jelas cikgu berdarah kacukan ini.

“Untuk menjadi seorang guru subjek Bahasa Melayu yang baik,saya sentiasa berpegang pada prinsip di mana ada kemahuan,di situ ada jalan. Malah, saya juga sering mengisi masa lapang dengan mengkaji ilmu bahasa, menulis modul dan buku berbahasa Melayu. Pada masa yang sama, saya juga menekuni penulisan buku kerja yang acap kali menjadi permintaan utama sekolah-sekolah di Malaysia.

Tan CL (empat dari kiri) bersama peserta Ceramah Suntikan Keyakinan Kepada Tutor Subjek BM diseluruh Malaysia.

Antara buku modul yang ditulis oleh Tan CL untuk kegunaan sekolah.

Untuk menulis karangan yang baik,sama seperti kita mendengar lagu yang baik dihasilkan. Saya yakin bahawa melodi serta liriknya akan terpahat kukuh dalam sanubari kita. Kalau lagu memerlukan lirik, melodi, lenggok,dan tempo yang betul, karangan memerlukan idea yang bernas, huraian yang matang, dan bahasa yang gramatis lagi cemerlang dengan kosa kata bertaraf tinggi dan laras bahasa yang segar lagi menarik,

“Subjek Bahasa Melayu haruslah dikuasai oleh semua murid disekolah menengah. Saban tahun,ada saja calon SPM Ulangan (SPMU)yang menelefon atau menghantar mesej kepada saya untuk meminta bantuan sama ada tip atau sebarang informasi agar lulus dengan pencapaian kredit dalam subjek Bahasa Melayu,” katanya kepada Majalah Pendidik.

Peserta dari SMK Dato Hamzah,Klang dalam Seminar Pelestarian Ilmu Sasaran A Program Sukses.

Guna Alam Maya Kongsi Maklumat

Dalam usaha membantu murid menduduki peperiksaan,Tan CL telah membina satu laman blog yang bertujuan untuk berkongsi maklumat kepada yang memerlukan.Sehingga kini, laman blog beliau sudah dilawati oleh 7.78 juta orang pengguna Internet danakan menjadi sesak pada musim peperiksaan.

“Kebanyakan perkongsian saya dalam blog berupa rumus mudah menguasai bahasa, karangan, teknik menjawab, dan peribahasa. Laman blog ini bukan sahaja menjadi tumpuan murid di seluruh Malaysia.Malah, penuntut bahasa Melayu dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, India, Jerman,Ukraine, Perancis juga menjadikan laman blog saya sebagai pilihan rujukan,” jelasnya.

Tambahnya, perkongsian maklumat dalam laman blog (www.cikgutancl.blogspot.my) dan laman Facebook beliau adalah untuk menyedarkan pengguna bahasa Melayu agar menggunakan bahasa Melayu dengan betulnya.

“Dengan menggunakan bahasa Melayu yang baiknya dan betulnya,kita bukan sahaja dapat menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan kita, tetapi juga dapat memelihara keunikan bahasa yang memainkan peranan penting sebagai bahasa perpaduan di Malaysia,” katanya lagi.

Aksi Tan CL ketika dalam ekspedisi menjelajah kawasan timur laut China.

Perkongsian Ilmu

Minat dalam kajian peribahasa juga menyebabkan beliau terus mengkaji peribahasa dan unsur keindahan dalam bahasa. Setakat ini, ahli keluarga beliau tidak pernah membantah usahanya untuk memartabatkan bahasa Melayu,malah menyokongnya.

“Biarpun mempunyai jadual waktu yang padat, saya tetap meluangkan masa untuk memenuhi undangan pihak sekolah. Pada saya, bengkel penulisan tidaklah membosankan berbanding dengan seminar teknik menjawab soalan peperiksaan. Dalam bengkel penulisan, seseorang murid itu dapat mencambahkan idea dalam usaha menulis karangan yang lebih berkualiti.

“Malahan disiplin juga dilihat sebagai tiang utama yang mengukuhkan binaan karangan kita. Dengan disiplin penulisan yang betul dan baik, kualiti penulisan dapat dipertingkatkan untuk mencapai kejayaan dan sasaran bagi subjek Bahasa Melayu. Dengan disiplin penulisan juga, murid dapat mengaplikasikannya dalam semua mata pelajaran bahasa,” ujarnya.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlaku kesilapan dan kekhilafan dalam penggunaan imbuhan,pengguna bahasa Melayu harus menghormati peranan imbuhan dalam bahasa Melayu. Kesilapan sebeginilah yang menggores hati dan perasaan malah mengecewakan beliau sebagai pencinta bahasa Melayu.

Peserta seminar yang diadakan di SMK Convent Teluk Intan, Perak .

Cabaran Guru Bahasa Melayu

Menurut Tan CL, guru subjek Bahasa Melayu pada zaman ini berhadapan dengan cabaran kerana murid kurang minat membaca buku ilmiah berbahasa Melayu.Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan masa mereka telah diisikan dengan aktiviti yang membuang masa dan kurang berfaedah.

Tambahnya, murid zaman ini dan tidak menghargai komponen sastera (KOMSAS) dan pembacaan novel menyebabkan minat mereka dalam bidang tersebut semakin hari semakin sepi.

Oleh hal yang demikian, beliau yang juga aktif berpuisi dan menyertai aktiviti kesusasteraan atas sokongan daripada Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah Hassan berharap agar konvensyen puisi tradisional yang bakal dianjurkannya akan menaikkan minat murid terhadap subjek Bahasa Melayu mahupun KOMSAS.

Dalam masa yang sama, Tan CL turut aktif dalam menganjurkan program berbentuk bual bicara ilmu bersama Asyiqeen Amin. Program yang dinamakan Titisan Ilmu Taburan Budi (TITB) ini telah masuk siri kelapan. Penganjuran siri demi siri TITB ini membuktikan bahawa guru-guru masih mendahagakan ilmu dan mencari ruang belajar untuk meningkatkan kreativiti dan memperluas pemikiran inovasi mereka dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) subjek Bahasa Melayu.

Di samping itu, Tan CL juga menerima undangan untuk membimbing guru-guru tuisyen diseluruh negara yang mengajarkan subjek Bahasa Melayu. Program umpama ini adalah untuk mempertingkatkan keyakinan dan pengalaman mereka agar sentiasa memiliki ilmu bahasa dan pengetahuan semasa yang dapat meningkatkan kualiti penyampaian ilmu kepada anak-anak murid.

Cikgu Bahasa Melayu, Tan CL bersama tiga orang puteri tercintanya ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Dengan kata lain, beliau berharap agar semua pendidik subjek Bahasa Melayu akan memperjuangkan usaha memelihara dan mendirgahayukan bahasa kebangsaan kita. Pada masa yang sama, beliau kini menjadi antara pelopor utama untuk memperkenalkan pendidikan digital dan pembelajaran kelas maya yang diusahakan oleh Digital Academy Malaysia (Education Intelligence) yang berpangkalan di Damansara Perdana, Selangor.Beliau berharap agar masyarakat tidak mengira usia dan tempat dapat menguasai pelbagai ilmu dalam pelbagai subjek yang ditawarkan.

Harapan Setinggi Gunung

Apabila ditanya harapannya terhadap pemantapan bahasa Melayu, Tan CL berkata beliau berharap agar tip dan rumus yang ditunjangi Tatabahasa Dewan dan rujukan ejaan utama bersumberkan Kamus Dewan akan menjadi pegangan semua orang.“Biarlah orang lain beranggapan bahawa perkataan yang kita tulis dan eja itu pelik, tetapi kita dapat membuktikan bahawa kita menggunakan bahasa Melayu dan menulis dengan betulnya dan tepatnya dengan semangat cinta akan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi kita menurut Perlembagaan Malaysia yang mesti kita hormati.“Untuk menulis karangan yang baik, sama seperti kita mendengar lagu yang baik dihasilkan. Saya yakin bahawa melodi serta liriknya akan terpahat kukuh dalam sanubari kita.Kalau lagu memerlukan lirik, melodi,lenggok, dan tempo yang betul,karangan memerlukan idea yang bernas, huraian yang matang, dan bahasa yang gramatis lagi cemerlang dengan kosa kata bertaraf tinggi dan laras bahasa yang segar lagi menarik,”jelas Tan CL mengakhiri bicaranya.