Kak Lah… Guru Sejatiku


Nama kakakku Ramlah. Usianya 75 tahun dan aku sepuluh tahun lebih muda daripadanya. Aku tinggal di selatan tetapi dia berada nun di pedalaman utara tanah air. Masih terbayang wajah kakakku yang sudah lama tidak kutemui itu. Aku selalu merancang untuk bertemunya tetapi sering kali juga gagal. Keadaan kesihatanku sekarang menjadi penyebab yang menghalang aku pulang menemuinya.

Pada saat ini aku terus mengimbau kenangan semasa dia menjaga dan membesarkan aku dulu. Kak Lah pernah bercerita bahawa dia sangat ingin belajar di sekolah. Tetapi kemiskinan dan himpitan hidup pada ketika itu menghalang peluang bersekolah untuknya. Aku yang masih kecil dijaganya kerana ibu dan ayah sentiasa membanting tulang mencari rezeki. Aku sentiasa berada atas dukungannya. Walaupun dia bermain kejar-kejar dengan kawan-kawannya,aku tetap dikeleknya.

Setelah Kak Lah berusia 16 tahun,dia dinikahkan oleh ayahku dengan seorang askar. Walaupun sudah berkahwin, Kak Lah tidak mengikuti Abang Syed Ali yang bertugas dinegara Congo. Namun Kak Lah menerima wang elaun sebagai isteri anggota tentera. Dengan wang itulah dia dapat membantu kewangan keluargaku yang sememangnya sangat susah.Aku membesar di depan mata Kak Lah.

Aku masih ingat dia pernah berpesan supaya aku rajin belajar dan lulus sehingga ke peringkat universiti. Dia mahu aku menjadi seorang guru sebagai pewaris cita-citanya,yang tidak mungkin tercapai olehnya. Jadi, harapan itu… akulah yang harus menggalasnya.

Berkat doanya dan ketekunanku dalam pelajaran, aku akhirnya menjadi seorang guru. Semua nasihat Kak Lah sentiasa menjadi pegangan hidupku. Walaupun Kak Lah bukan seorang guru, nasihatnya menjadi panduan hidupku. Aku teruskan dengan memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak didikku sebagaimana galakan yang kuterima daripada kakakku itu. Hasilnya, dalam karier sebagai seorang guru ini aku pernah beberapa kali dikurniakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Satu perkara yang sangat aku kagumi ialah sifat penyayang yang ditunjukkan Kak Lah ketika membesarkan aku. Dia tidak pernah meninggikan suara memarahi aku.Tutur katanya lembut dan bersopan serta tidak pernah bersikap kasar kepadaku. Dia tidak bersekolah.Dia tidak belajar ilmu komunikasi,ilmu kesantunan berbahasa atau ilmu psikologi. Namun dia berjaya mendidikku dengan sempurna.

Kadang-kadang, aku berasa hairan melihat gelagat guru-guru yang mempelajari pelbagai bidang ilmu sebelum menjadi guru. Tetapi apabila berdepan dengan murid-murid,mereka gagal menunjukkan contoh teladan yang baik. Mereka menghamburkan kata-kata kesat apabila memarahi murid. Mereka tidak pandai menggunakan bahasa yang santun, yang kurang mengguris hati dan perasaan.

Seharusnya guru perlu mahir menggunakan bahasa memujuk,bahasa memuji atau pandai menggunakan simpulan bahasa,peribahasa mahupun perumpamaan yang pernah digunakan oleh generasi lama dalam mendidik generasi lama dalam mendidik anak-anak.

Aku masih ingat kepada satu peristiwa yang menggambarkan kelemahan seorang guru. Pada masa itu anakku, Emilia baru berusia sembilan tahun dan berada di tahun tiga. Aku menghantarnya ke sekolah setiap hari tetapi pada hari itu dia menangis dan tidak mahu pergi ke sekolah. Aku berasa amat pelik kerana sebelum itu Emilia sentiasa menunjukkan yang dia suka kesekolah.

Akhirnya pertanyaanku terjawab apabila Emilia memberitahuku bahawa hari itu dia akan dipindahkan ke kelas paling lemah kerana dia mendapat markah yang rendah dalam ujian Matematik.Cikgunya menyatakan hal itu apabila dia hanya mendapat 35 peratus markah dalam ujian itu.Emilia menyebutkan kata-kata gurunya, “Esok saya akan pindahkan kamu ke kelas K, kelas tercorot dan saya tak mahu melihat muka kamu lagi dalam kelas ini”.

Sebagai seorang ibu, aku berasa sangat kecewa apabila mendengar frasa tersebut. Kata-kata kesat itu seolah-olah menjadi hukuman psikologi kepada seorang anak kecil seperti Emilia. Tidakkah guru itu memikirkan bahawa anak sekecil itu baru sahaja belajar konsep bilangan, tolak, campur, darab dan sebagainya. Aku amat kesal lalu membincangkan masalah ini dengan guru besar sekolah.Walaupun akhirnya hal ini dapat diselesaikan oleh pihak sekolah,namun aku terus bertanya-tanya akan masa depan pendidikan jiwa kanak-kanak jika guru seperti itu berada dalam sistem pendidikan kita.

Ingatanku kepada Kak Lah terimbau kembali dan aku dapat menyimpulkan bahawa keikhlasan hati, kasih sayang, simpati, empati,dan tutur kata yang baik merupakan kunci kejayaan dalam pendidikan.Andai cita-cita Kak Lah untuk menjadi guru tercapai, tentu ramai anak bangsa yang berjiwa mulia dapat dilahirkannya.

Aku amat bersyukur mempunyai seorang kakak yang berjaya mendidikku menjadi seorang guru yang berhati luhur dan tahu mengenang jasa.Aku yakin ada cahaya di hujung sana untuk Kak Lah, sungguhpun dia hanya insan biasa yang tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana institusi pendidikan.Kak Lah, tungguuuu… aku akan pulang menemuimu!