Kesantunan Berbahasa:Dalam Warkah Datuk Kelana Petra dan Datuk Lela Maharaja kepada E. A. Blundell


Kesantunan berbahasa merujuk kepada kesopanan dan ketertiban menggunakan kata-kata ketika berkomunikasi. Penggunaan bahasa yang baik, teratur, dan beradab semasa komunikasi lisan mahupun tulisan menggambarkan hati budi penuturnya.

Dalam komunikasi bertulis,aspek pemilihan dan penyusunan kata memainkan peranan penting kerana antara penulis/pengirim dengan pembaca/penerima tidak wujud interaksi bersemuka atau bahasa badan yang boleh menyokong komunikasi dua hala tersebut. Maka, bahasa yang sopan dengan menggunakan kosa kata yang ‘halus’ dan mematuhi budaya bahasa yang ditetapkan mempengaruhi keberkesanan penyampaian mesej atau hasrat hati.

Dalam komunikasi bertulis menerusi warkah Melayu lama,aspek kesantunan berbahasa ini tidak dipinggirkan sama sekali.Setiap komponen dalam warkah,terutamanya isi kandungan atau perkara yang diperkatakan disusun dengan kosa kata yang santun, bersesuaian dengan taraf sosial antara kedua-dua pihak.

Untuk penulisan ini, menerusi warkah yang dikirim Datuk Kelana Petra dari Semujung(Sungai Ujong) dan Datuk Lela Maharaja dari Rembau kepada Edmund Augustus Blundell (E. A. Blundell) terdapat banyak penggunaan kata yang membuktikan aspek kesantunan diberi keutamaan.Warkah dimulakan dengan pendahuluan dan puji-pujian antara pengirim dan penerima warkah. Bait-bait kata tulus ikhlas suci putih hati yang disusun dengan baik menggambarkan keikhlasan hati Datuk Kelana Petra dan Datuk Lela Maharaja mengirim warkah kepada E. A. Blundell.

Manakala ‘keagungan’ dan ‘kekuasaan’ Gabenor Negeri-negeri Selat ini turut diserlahkan menerusi pemilihan kata yang santun dan teliti. E. A. Blundell didoakan agar beroleh pangkat kebesaran dan kemuliaan dalam pentadbirannya sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat ini.

Turut ‘mencantikkan’ kesantunan warkah menerusi alu-aluan ialah penggunaan kata gelaran Tuan Gabenor yang menunjukkan hubungan yang rapat antara pengirim dengan penerima warkah.Sebagai pembesar di negeri Melayu,Datuk Kelana Petra dan Datuk Lela Maharaja perlu menjaga air muka antara kedua-dua belah pihak. Maka, penggunaan gelaran ini membantu mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan Negeri Sembilan dengan Inggeris. Sebagai penjelasan lanjut, kesantunan dalam pendahuluan warkah ini dapat dilihat menerusi petikan berikut:

Warkat al-mubarak serta tulus ikhlas suci putih hati daripada Datu’ Kelana Petra yang ada merintah di dalam bandar Semujung, serta Datu’ Laila Maharaja yang merintah di dalam banda(r) Rembau, barang diwasilkan Allah taala datang kehadapan Tuan Gabenur yang ada merintah tiga buah negeri Pulau Pinang Singkapura Melaka yang beroleh pangkat kebesaran serta kemuliaan amin.

Seterusnya bagi memulakan perbicaraan dalam komponen kandungan, pengirim warkah memulakan dengan penanda wacana wabadahu atau maka.Kata wabadahu ini berfungsi menghubungkan idea pendahuluan dengan topik dalam perenggan isi kandungan warkah menerusi satu idea penulisan yang lengkap.Penggunaan penanda wacana yang tepat ini menggambarkan kehalusan dan kesantunan dalam warkah tersebut.

Selain itu, dalam komponen kandungan pengirim menggunakan ganti nama kita bagi mewakili diri mereka berdua. Manakala kata sapaan sahabat kita ditujukan kepada E. A. Blundell. Ganti nama dan kata sapaan tersebut ternyata lebih ‘lembut’ dan menunjukkan hubungan yang akrab antara kedua-dua pihak.

Kesantunan dalam penggunaan kata ganti nama dan kata sapaan ini secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan rapat serta memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Kesantunan dalam kandungan warkah ini turut hadir menerusi permintaan yang disusun satu persatu. Datuk Kelana Petra dan Datuk Laila Maharaja memulakan dengan permintaan mereka ingin bertemu E. A. Blundell. Persetujuan telah E. A. Blundell berikan dengan menyatakan perjumpaan akan dibuat di Melaka. Seterusnya penghulu Sungai Ujong dan Rembau ini menyuarakan hasrat Saiyid Abdul Rahman untuk bertemu dengan Gabenor Negeri-negeri Selat ini.

Permintaan dua perjumpaan ini disusun dengan penggunaan ayat dan kata-kata yang ringkas dan terdapat gaya bahasa lisan,contohnya kita antar, kita pun ada balas surat, dan kita beri lagi.Penggunaan gaya bahasa lisan dalam warkah ini memberikan kesantunan dan ‘keharmonian’dalam penyampaian maksud warkah dan tidak menimbulkan rasa bebanan kepada penerima warkah.

Pada pengakhiran warkah,pengirim menggunakan kata-kata yang santun dalam‘melarang’ penerima. Ayat ini disusun dengan baik supaya Tuan Gabenor mematuhi larangan yang dipinta. Ayat larangan tersebut dilembutkan dengan partikel‘-lah’ dan tidak menimbulkan konflik antara kedua-dua pihak.Manakala pada penghujung ayat larangan ini dinyatakan frasa demikianlah adanya, yang turut menggambarkan kesantunan dalam warkah ini.

Frasa ini seolah-olah sebagai perendah emosi atau penyejuk hati setelah arahan larangan diberikan.Ternyata pada kesudahan perenggan isi kandungan warkah ini,pengirim masih bijak menggunakan istilah atau susunan kata-kata yang lembut dan sopan. Susunan kata-kata ini, seperti yang terdapat dalam petikan di bawah secara tidak langsung membantu melancarkan penyampaian maklumat kepada penerima.

Dan lagi dari pasal kita hendak bertemu ini, janganlah sahabat kita sangkakan kejahatan halnya,semata2 kebajikan barang segala,jikalau ada orang2 lain mengatakan kejahatan, orang itulah yang tiada suka melihat kebajikan, demikianlah adanya.

Kesantunan berbahasa menerusi warkah yang dikirim dititikberatkan supaya isi kandungan dapat disampaikan dengan berkesan.Perkara ini dengan jelas telah dihuraikan menerusi warkah kiriman Datuk Kelana Petra dan Datuk Lela Maharaja kepada E. A. Blundell ini,yang ditulis pada 8 Jamadilakhir 1275(13 Januari 1858).

Penggunaan kata ganti nama diri kita, kata sapaan sahabat kita,dan kata gelaran Tuan Gabenor menggambarkan hubungan yang rapat antara kedua-dua pihak. Selain itu penggunaan penanda wacana yang sesuai dan penggunaan partikel ‘-lah’ bagi ayat larangan,‘melembutkan’ lagi bahasa dalam warkah ini.

Seterusnya, kata-kata pujian terhadap penerima warkah dan penggunaan gaya bahasa lisan menampakkan kesantunan warkah ini. Berdasarkan contoh-contoh dalam warkah ini, jelas menunjukkan orang Melayu khususnya pembesar Melayu lama kaya dengan budi bahasa dan kesantunan yang diterjemahkan melalui komunikasi bertulis.

Amalan kesantunan berbahasa sebegini perlu disemarakkan dalam dunia kebahasaan masa kini kerana melambangkan jati diri bangsa yang telah berakar umbi berkurun lamanya.