Empangan Kuala Kenering


Dia anak nelayan.Sering menjadikan pangkalan tua tempat persinggahan melontarkan curiga dan bimbang.Melepaskan semua kisah sedih tentang keluarga.Biarpun kemiskinan memaksa diri untuk kerap kali membenamkan perasaan bersama dalam lubuk tasik kerinduan.

Tahun ini Azizul murid Tahun 6 Akasia akan menduduki UPSR.Seringkali PK Pentadbiran, Hajah NorRosmawati mengingatkan agar biar apa pun yang membadai sengketa murid-murid harus menumpukan tentang pelajaran.

Memang Azizul antara yang paling pandai dalam kelas.Mendapat pujian rakan dan guru.Namun begitu tetap tidak disukai oleh Azwan dan Kamal selaku rakan sekelas. Apatah lagi kisah tentang Azizul seorang anak nelayan seringkali menjadi bahan menggetah‘bawang.’

“Siapa kat rumah ada belaikan kaloi?” Suatu pagi CikguI khwan bertanya. Sudah lama ingin membela ikan tersebut memandangkan teringat kisah tentang Bawang Putih Bawang Merah.

“Cakap je ikan apa cikgu nak. Ni,anak nelayan sejati Kampung Kuala Kenering ada dalam kelas.” Azwan lancang mulut memberitahu sambil menunjukkan jari ke arah Azizul yang sedang berdiam diri membelek buku ditemani kawan baiknya Rashidi.

“Betul, cikgu. Bukan setakat ikan kaloi sahaja. Tapi kat empangan macam-macam ada. Ikan keli,toman, lampam, belida dan kelisa. Ikan jaws je yang tak ada cikgu.” Penerangan Kamal pula membuatkan kelas dipenuhi gelak ketawa.

“Tapi kan, cikgu. Azizul mana boleh tangkap. Setakat tangkap ikan seluang di gigi air bolehlah.” Sekali lagi Azwan bersuara niat menyindir.Tetap diikuti gelak ketawa rakan-rakan.

Azizul masih lagi tidak membuka mulut. Biarlah Azwan dan Kamal anak orang yang tidak merasa erti susah itu berhak menceritakan apa sahaja.

“Betul cakap Azwan, cikgu.Yang pandai tangkap ikan hanyalah Pak Cik Shahrul ayah kepada Azizul. Dia dari dulu sampai sekarang kerja tangkap ikan. Kalau cikgu nak tikar pun ada. Mak dia iaitu Mak Cik Hasnah jual tikar mengkuang.”

“Ish, apalah korang. Yang dok menceritakan tentang keluarga Azizul ni kenapa? Saya tak tanya pun.” Cikgu Ikhwan menggeleng kepala seketika. Azwan dan Kamal sudah mengata.

“Apa salahnya kerja nelayan. Ikan kat sana besar-besar. Sekali tangkap dan dijual kat restoran di Kampung Cina Ayer Kala mampu mendapat beratus ringgit. Itu baru seekor.Bayangkan kalau dapat sepuluh ekor sehari.” Rashidi tetap memenangkan kawan baiknya.

“Saya sokong, cikgu. Dengan duit itulah Azizul mampu membayar duit kecemerlangan tahun enam.Tak macam murid-murid lain.Keluarga berkemampuan pun liat membayarnya. Yang tak bayar tak malu ke menumpang program.Ingat free ke? Nak masuk tandas pun kena bayar.” Kali ini Rohidah pula menyokong. Sakinah di sebelah mengangguk-angguk tanda setuju.

“Sudahlah saya tidak dengar apa-apa. Nanti saya jumpa dengan Azizul sendiri.” Cikgu Ikhwan menamatkan perbualan dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

Sebaik-baik sahaja waktu rehat,Cikgu Ikhwan tiba-tiba ditegur oleh Azizul. “Cikgu, betulkah nak ikan kaloi? Saya boleh dapatkan.”

“Tadi saya bergurau. Setahu saya amat susah nak tangkap ikan.Kawasan larangan pula. Dah tiga kali cikgu nak masuk tapi dihalang oleh polis bantuan. Tapi bagaimana rupa jetinya?”

“Genggam bara api biar sampai jadi arang kan cikgu. Jangan risau. Insya-Allah kalau ada masa saya akan bawakan ikan kaloi.Air dari empangan dan pucuk ubi untuk diberi makan.” Janji Azizul sungguh-sungguh. Kalau bercerita bab empangan, sungai, ikan dan kehidupan di dalamnya memang Azizul penuh semangat. Mungkin membesar bermain dengan arus sungai.

“Cikgu nak masuk tak empangan tu? Kalau cikgu nak masuk saya boleh bawa.”

“Eh, betul ke? Mana boleh masuk dan tangkap ikan sesuka hati.”Cikgu Ikwan teruja. Sudah lama dia mengimpikan untuk memasuki kawasan Stesen Jana elektrik Sultan Azlan Shah.

“Ada caranya cikgu. Orang-orang kampung bebas masuk. Lagipun mereka nak tangkap ikan. Bukannya masuk mencuri. Kalau nak pergi,cikgu datang ambil saya hari minggu nanti.”

Pucuk dicita ulam mendatang.Cikgu Ikhwan terus bersetuju. Sudah terbayang ikan kaloi sejenis ikan air tawar yang menghabiskan sebahagian atau seluruh hidupnya di air tawar. Yang pasti hanya disungai dan danau negeri Perak dan Pahang sahaja. Yang hidup di Empangan Kuala Kenering yang kos pembinaannya sebanyak RM240 juta.

Hari minggu yang dinantikan,mereka penuh semangat. “Cikgu jalan terus. Berhenti di pintu masuk empangan. Minta izin dengan Pak Cik Shahri.”

Cikgu Ikhwan sedikit pelik.Apakah semudah itu sahaja sedangkan dia sudah tiga kali meminta izin untuk memasuki empangan tetap dihalang. Kalau kali ini dia dapat masuk, sangat-sangat berterima kasih. Untungnya mengenali anak murid hati waja itu.

“Pak cik saya ingin ke jeti.Boleh tak?” Cikgu Azizul meminta kebenaran.

“Boleh sahaja. Masuklah.” Pak Cik Shahri memberi keizinan sekaligus mata Cikgu Ikhwan pantas memandang Azizul yang tersengih dari tadi. Mujur ada ‘orang dalam’.

Sebaik-baik sahaja sampai dijeti, betul-betul memukau mata memandang. Air jernih yang didalamnya dapat dilihat ikan-ikan berenang sesuatu yang menenangkan. Ditambah pula dengan kolekan sampan tersusun di tepi betul-betul mewujudkan sebuah pemandangan sebenar nelayan.

“Cikgu, tengok.Ada ikan kaloi dibawah perahu.” Azizul mengejutkan lamunan Cikgu Ikhwan yang ternyata tidak habis teruja.

Lekas-lekas Cikgu Ikhwan mendekati. “Itukah ikan kaloi? Apa beza dengan ikan lain?”

“Betullah tu, cikgu. Mengikut Wikipedia ikan ini spesies ikan sepat besar. Dari segi warnanya, ia berwarna pucat sehingga kuning emas, dengan sisik perak, jalur biru pucat yang merentasi badannya secara menegak. Ikan betina boleh dikenali dengan bibir mulut yang lebih tebal. Ada dua janggut panjang di bawah badan.” Panjang lebar Azizul memberi penerangan.

“Wah, cantiknya kaloi!” Cikgu Ikhwan memuji. Nampak dengan jelas ikan kaloi berenang-renang cantik mencari makan di air yang tenang arusnya.

Sebuah bot menghampiri. Lekas-lekas Cikgu Ikhwan menegur kerana terlihat banyak ikan di dalam bot itu.Ada lampam, haruan, sepat, belida dan banyak lagi.

“Pak Cik Anuar, ni Cikgu Ikhwan.Pertama kali datang nak tengok kawasan empangan.” Lekas-lekas Azizul memaklumkan.

“Malam tadi hujan lebat cikgu.Nelayan tak ada turun ke sungai.Kalau tidak penuh empangan ni dengan urusan jual beli ikan.” Terang Pak Cik Anuar yang umurnya 60-an sambil memasukkan ikan ke dalam bekas besar.

“Saya datang sekadar ingin melihat. Tak pernah lagi datang sini.Memang luas dan cantik. Selama ini tengok kat internet sahaja.”Cikgu Ikhwan meluah rasa sambil melihat Pak Cik Anuar memasukkan hasil tangkapan ke dalam guni.Kalau dijual sungguh lumayan.Nelayan darat mampu hidup senang sebenarnya. Tetapi kenapa Azwan dan Kamal sering memperlekehkan Azizul yang membesar sebagai anak nelayan.

“Sangat susah tangkap ikan kaloi ni cikgu. Tengoklah saya dah sauk pun dia akan lari.” Azizul sedikit mengeluh sambil di tangannya masih ada sauk yang diambil didalam bot nelayan.

“Cikgu tengok ikan berenang pun jadilah.” Cikgu Ikhwan meluah rasa sambil menangkap beberapa keping gambar untuk dibuat kenang kenangan.

Pagi itu, dia pulang dari empangan dengan hati yang puas.Melihat ikan berenang di bawah bot, luasnya alam membuatkan dia benar-benar terbuai dengan suasana alam semula jadi yang belum tercemar itu. “Patutlah, kawasan empangan ini menjadi kawasan larang. Kalau diceroboh pasti tidak terjaga. Ikan-ikan pula akan pupus kerana ditangkap sesuka hati.”Keesokan di sekolah Cikgu Ikhwan tersenyum lebar. Tidak sabar untuk menceritakan kepada cikgu lain tentang kunjungan pertama ke kawasan empangan yang dianggap kawasan larangan. Tidak sabar untuk masuk ke kelas 6 Akasia.Dalam masa yang sama ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi buat anak muridnya.

Namun, pagi-pagi lagi kelihatan Rashidi dan Nazri datang dengan suara tercungap-cungap. Mungkin ingin bertanya tentang kisah Azizul membawa Cikgu Ikhwan ke kawasan empangan.

“Cikgu, tahu tak petang semalam kat kampung kami kecoh.” Rashidi meluah kata dengan nafas turun naik.

“Sebab cikgu masuk kawasan empangan pagi tu ke?”

“Azizul hilang cikgu. Kat kawasan empangan. Kat CCTV ada tengok Azizul naik basikal masuk empangan.Mungkin tenggelam di dasar sungai.”Nazri laju bercerita. Dahinya berkerut.

“Ya Allah muridku!” Cikgu Ikhwan betul-betul terkejut. Terasa darah kekaki. Lemah longlai. Cuba gagahkan semangat. Mengharapkan di mana semua masalah seharusnya berakhir.

Terus mendapatkan kereta menuju ke kawasan empangan dengan seribu satu persoalan. Dalam hati agar Azizul selamat. Sebaik baik sahaja sampai kelihatan Mak Cik Hasnah menangis teresak esak sambil memegang dan memeluk sepasang selipar Jepun. “Abang,mana anak kita bang.Mana Azizul.”“Sabarlah. Ingat Allah.Doakan anak kita selamat.” Pak Cik Shahrul di tepi memujuk sambil memandang ke dasar sungai.

Cikgu Ikhwan lekas-lekas mendekati ke gigi air yang dipenuhi orang ramai. Masing-masing memandang ke dalam air.

Cikgu Ikhwan rasa ingin pengsan.Sedarlah melalui luahan orang kampung Azizul tenggelam di dasar tasik. Dia sedaya upaya menahan airmata mengalir begitu sahaja.

“Dah jumpa ke belum?” Pak Cik Marzani selaku ketua Kampung Kuala Kenering bertanya ke arah seorang pegawai penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik yang baru muncul dalam air.Isterinya Mak Nik Napisah juga gusar sambil memujuk Mak Cik Hasnah.

Encik Theebanraj memberi isyarat tidak menemui apa-apa membuatkan Mak Cik Hasnah meraung-raung macam orang gila.

“Saya menyesal bang. Menyesal marah dia petang semalam. Saya pukul dia sebab asyik bermain dengan ikan sahaja. Buku dibuang begitu sahaja. Tapi saya tidak sangka jadi begini.

“Jangan risau. Anak kita dah biasa dengan kawasan empangan.Doakan tidak ada apa yang berlaku.”Pak Cik Shahrul tetap memberi sokongan moral biarpun hati merasakan kegusaran. Tidak pernah Azizul hilang macam ini semalaman.

Dalam kesedihan itu Mak Cik Hasnah meluah lagi. “Anak kita tenggelam ke dasar tasik abang cakap tak apa-apa. Kalau tak ada apa-apa kenapa seliparnya ada disini? Abang, ambil basikal kat sana tu bawa sini. Saya nak peluk. Saya nak belai. Saya nak minta maaf…”

“Mana bot saya?” Pak Cik Khalil bertanya sebaik-baik sahaja mendekati pangkalan.

“Nampaknya bot kau ada orang ambil. Tak pernah lagi berlaku bot hilang di empangan ini.” Pak Long Shahir juga hairan.

Semua mata fokus ke arah Pak Cik Khalil nelayan tua yang berpuluh tahun mengabdikan diri kepada sungai.

“Mungkin budak tu menggunakan bot ini?” Pak Cik Marzani meneka bersama nafas lega. Bermakna masih ada harapan untuk menemui Azizul.

“Anak saya selamat ke tok ketua?Anak saya selamat. Azizul selamat ke?” Mak Cik Hasnah mendekati sambil mengesat air mata. Dia sedikit berbunga harapan.

“Ya, kami dah cari di dasar sungai.Nampaknya tidak menemui apa apa.Bermakna budak tu ada ditempat lain.” Theebanraj berkata yakin.

“Abang, anak kita selamat bang.Kalau jumpa saya nak minta maaf sebab pukul dia semalam. Saya takkan halang dia bermain dengan ikan lagi. Lagipun tasik inilah rezeki kita.”

Dalam kekalutan melayan luahan Mak Cik Hasnah, tiba-tiba mata penduduk kampung memandang ke arah sebuah bot. Pak Cik Anuar dari jauh melambai-lambaikan tangan dan memberi isyarat bagus.

“Apa yang bagusnya?” Suara Pak Cik Marzani kuat memecahkan keheningan pagi.

“Dia ada di sini. Azizul.” Tersengih sengih Pak Cik Anuar memberitahu bersama bot yang menuju laju ketepi jeti.

Sebaik-baik sampai orang kampung bagai semut menghurung gula. Masing-masing memanjatkan kesyukuran. Azizul yang terjelepok lemah menggagahi untuk bangun.Pak Cik Shahrul memanjatkan kesyukuran. Anaknya kini ada didepan mata.

Mak Cik Hasnah terus mendapatkan anaknya. “Mak minta maaf. Mak tersalah rotan kau semalam. Mak takkan buat lagi. Mak takkan halang kau bela ikan…”

“Mak tak bersalah. Azizul yang salah kerana keluar tanpa kebenaran. Niat hendak menangkap ikan. Tapi bot rosak. Tertidur kepenatan di tengah tasik sehingga ke pagi. Mujurlah pagi ini Pak Cik Anuar jumpa.”

Semua memuji Pak Cik Anuar yang mahir selok-belok tasik dan pandai menangkap ikan. “Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga. Tak perlu bersusah payah naik perahu naik bot untuk tangkap ikan kaloi. Rahsianya satu sahaja. Datang waktu malam. Sauk sahaja di bawah bot ketika ikan sedang tidur. Semudah ABC, 1,2 3. Tak gitu Azizul?”

Azizul tersenyum. Dalam redup mata kuyup dan tubuh yang masih lemah dia bersuara. “Ikan kaloi untuk cikgu. Bukan seekor tapi banyak.Saya nak buktikan dekat kawan-kawan yang mencabar.”

“Gigih sekali semangat juang kau.” Cikgu Ikhwan rasa disuntik semangat baru.

“Sebagai bukti cikgu bersusah payah mengajar saya selama ini.Semangat dan sikap ambil tahu cikgu terhadap saya dan murid-murid membuatkan saya mendapat aura semangat tiba-tiba untuk menghadiahkan sekali gus mencapai hasrat cikgu membela ikan kaloi.Jagalah ikan ini sebagaimana cikgu menjaga saya selama ini.”

“Ya Allah muridku. Terima kasih.Cikgu sangat bangga.” Cikgu Ikhwan terus memeluk Azizul dengan firasat hati tenang yang dibenamkan dalam deras tasik. Bersama impian, juga kenangan yang sejernih air. Ikatan antara dia dan anak nelayan itu semakin dekat. Sebagai mana aur dengan tebing. Empangan Kuala Kenering menjadi saksi abadi.