Tekanan Emosi Murid : Peperiksaan Semakin Hampir


Setiap tahun bila tiba musim peperiksaan pastinya murid yang mendudukinya baik di peringkat rendah, menengah dan universiti akan menghadapi tekanan.

Umumnya tahap tekanan dihadapi oleh murid berbeza-beza mengikut tahap fokus mereka terhadap peperiksaan yang akan mereka duduki dan tahap persediaan yang mereka lakukan. Lazimnya murid yang mengambil berat terhadap pelajaran dan menginginkan keputusan cemerlang tentunya tekanan yang mereka hadapi lebih dirasai.

Jadi bagaimana caranya untuk para gurumembantu murid menangani tekanan itu? Kita tidak mampu menangani tekanan ini secara sepenuhnya tapi cukup sekadar untuk mengurangkan tekanan yang ada agar murid boleh terus belajar dan fokuskan diri.

Persiapan awal harus dilakukan seperti mengulang kaji pelajaran dan latih tubi. Ini mampu membantu murid mengawal mental dan emosi tekanan ketika menduduki peperiksaan. Murid berkemungkinan akan lupa semua yang anda ulang kaji disebabkan gementar yang keterlaluan dan sebagainya. Jika perlu, minta murid dapatkan nasihat daripada rakan dan guru untuk mengawal tahap gementar mereka.

Justeru, minta murid kerap menelefon ibu bapa sekiranya mereka tinggal jauh di asrama. Lebih untung bagi yang tinggal bersama orang tuanya. Galakkan murid berbuat baik pada mereka. Sesungguhnya doa ibu bapa untuk murid adalah yang paling makbul. Murid juga dapat mengurangkan tekanan dengan bercerita masalah dengan ahli keluarga.

Selain itu, ingat murid apabila tamat menjawab satu kertas peperiksaan dan kebetulan mereka tidak dapat menjawab dengan baik maka janganlah terlalu memikirkannya. Ini kerana ia akan menjejaskan tahap fokus murid itu sendiri terhadap kertas peperiksaan yang akan diduduki seterusnya.

Oleh itu, bagi memantapkan aspek kerohanian dan mentaliti murid dalam peperiksaan, ada baiknya mereka berdoa dan bersolat memohon ketenangan dan ketajaman pemikiran untuk menghadapi peperiksaan. Keraplah mengulang kaji pelajaran di rumah.

Kebanyakan murid gemar mengulang kaji pelajaran pada saat akhir. Inilah punca sebenar gementar yang tidak terkawal menyebabkan murid  lupa semua yang dipelajari. Maka, wujudlah nota kecil sebagai rujukan untuk dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Murid dinasihatkan tidak melakukannya kerana ia akan menambah tekanan bagi mengelak ­ditangkap pengawas peperiksaan.

Belajar atas usaha murid sendiri lebih berkat ilmu yang dipelajari. Sekiranya mereka menghadapi tekanan yang teruk ketika menduduki peperiksaan, murid dinasihat minta keluar sebentar untuk mencuci muka atau minum air supaya meminimumkan rasa gementar.

Aspek pemakanan dan kesihatan diri juga penting untuk kecergasan tubuh badan dan kecerdasan otak semasa menduduki peperiksaan.

Sekiranya merasa tertekan yang amat sangat, lepaskan dengan segera. Jeritlah atau ketawalah sepuas-puasnya. Lepaskan segalanya dengan segera tetapi jangan dengan cara yang salah. Murid boleh melepaskan tekanan itu dengan menyanyi atau melakukan perkara yang mereka suka. Penulis harap kaedah di atas dapat membantu murid dan selamat berjaya bagi yang bakal menghadapi peperiksaan.