Pendidik Oktober 2017
Pena Pengarang

Iktibar dan
Penambahbaikan

Baru-baru ini berlaku beberapa peristiwa penting dalam sejarah pendidikan negara. Antaranya pembentangan Laporan Tahunan 2016 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, diikuti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid-murid kohort kedua format baharu ujian berkenaan, tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang bakal kekal menyayat hati kita.

Pada penghujung Ogos, lebih tepat pada 21 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah melancarkan Laporan Tahunan 2016 PPPM 2013-2025.

Dalam hal ini, Mahdzir telah bersikap terbuka dan telus apabila mengakui ada beberapa elemen terutama dari segi capaian kelajuan internet ke sekolah-sekolah khususnya di luar bandar belum mencapai tahap yang disasarkan. Beliau akur hal itu perlu diberi perhatian dan kita semua sangat mengharapkan akan ada kemajuan yang ketara dalam hal ini.

Bagi merealisasikan hal ini mungkin Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan perlu mempertimbangkan peruntukan yang bersesuaian dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan beliau pada bulan ini bagi membolehkan Kementerian Pendidikan melaksanakan inisiatif PPPM serta membuat penambahbaikan yang telah dikenalpasti dengan lancar.

Antara 11 hingga 18 September lalu pula berlangsung UPSR 2017. Keputusannya akan diperolehi sekitar bulan November, yakni bulan depan.

Rata-rata guru dan murid yang ditemui wartawan Majalah Pendidik yakin keputusan kali ini bakal lebih baik berbanding tahun lepas. Semua pihak di seluruh negara terutama 443,794 calon yang menduduki ujian berkenaan, ibu bapa mereka, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan sendiri menanti penuh debar hasilnya.

Dalam pada itu, ketika UPSR sedang berlangsung 21 murid Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berumur antara 6 hingga 16 tahun dan dua guru yang juga warden mereka berumur 25 dan 26 tahun syahid dalam tragedi kebakaran pada awal pagi 14 September. Kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat dan polis menahan tujuh suspek terdiri daripada remaja berusia antara 12 hingga 18 tahun yang telah diberhentikan sekolah.

Yang berlaku sudah pun berlaku, yang syahid telah pun pergi. Tapi ada iktibar yang perlu diambil oleh kita yang hidup. Kita tidak boleh menyalahkan takdir selagi belum habis ikhtiar kita ambil.

Dalam aspek pendidikan, kerajaan kita antara negara yang sangat prihatin hinggakan wujud sekolah dalam penjara, sekolah dalam hospital malah sekolah khusus untuk anak-anak gelandangan serta sekolah pemulihan akhlak juvana. Bak kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr. Amin Senin dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) di Melaka, “Kita tidak membuang murid dari sekolah, kita hanya mengeluarkan mereka daripada sistem”. Maksud beliau, dalam konteks murid terbabit masalah disiplin mereka hanya dikeluarkan daripada sistem persekolahan biasa, namun masih berada dalam sistem pendidikan negara, biasanya di sekolah juvana atau pusat pemulihan akhlak.

Namun melihat kepada kes kebakaran pusat tahfiz berkenaan yang mana tujuh remaja terbabit yang sepatutnya sedang berada dalam sistem pendidikan kita tetapi tidak pula sedemikian, maka kita perlu mengkaji di mana “missing link” nya? Jangan pula hanya menuding jari kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan, tetapi amat perlu juga kita melihat dalam konteks lebih besar – peranan menyeluruh semua pihak.

Seiring dengan perubahan drastik dalam bidang pendidikan, peranan Pegawai Pendidikan Daerah semakin penting. Di bawah Program Transformasi Daerah (District Transformation Programmed-DTP), apabila jabatan pendidikan setiap negeri dikecilkan, peranan Pegawai Pendidikan Daerah dan sekolah akan bertambah besar daripada yang sedia ada. Hal ini menyebabkan Pegawai Pendidikan Daerah perlu diperkasakan bagi memastikan semua pegawai Pendidikan Daerah berupaya meneraju dan melaksanakan transformasi seperti yang dihasratkan. Di sini dikongsikan fikiran Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid seperti yang beliau sampaikan pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Malaysia Pegawai Pendidikan Daerah 2017, di Kuching Sarawak.

Tumpuan

Inisiatif Lonjak TVET

Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) wajar diperkasa menjadi sistem arus perdana. Modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting dalam transformasi ekonomi negara dan berfungsi menutup jurang kemahiran yang dihadapi, khususnya oleh industri.

 

Semasa

Mempelawa Pandangan & Idea Guru

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengumpul idea dan pandangan daripada kalangan guru dan ahli akademik seluruh negara bagi menangani masalah salah laku pelajar yang semakin membimbangkan.

Tahun Kedua UPSR Format Baharu - Guru, Murid Yakin 2017 Ada Peningkatan

Setiap tahun keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) biasanya akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada satu tarikh di minggu ketiga bulan November, dan keputusan UPSR 2017 dijangka akan diumumkan pada minggu kedua November. Pada tarikh rasmi keputusan diumumkan nanti, calon boleh mendapatkan keputusan tersebut melalui sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi. Selain itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan semakan ringkasan keputusan secara sistem pesanan ringkas, mySMS 15888.

Kolumnis

Laporan Tahunan 2016 PPPM - Bukti Ketelusan Pendidikan Negara

Untuk kali keempat sejak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilancarkan pada 6 September 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berjaya mengotakan janji dengan menerbitkan Laporan Tahunan PPPM sebagaimana yang dijanjikan dalam Anjakan 11.  Hari Isnin, 21 Ogos 2016 menyaksikan Kementerian melancarkan Laporan Tahunan 2016 yang membentangkan secara telus pencapaian pelaksanaan PPPM dalam tahun pertama Gelombang Kedua dengan janji untuk ‘memacu peningkatan sistem’.

Kolumnis

Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasas keperluan

Ukuran pencapaian sekolah di Malaysia adalah berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk prestasi utama (KPI) seperti mana diterapkan dalam perkhidmatan awam yang lain. Sistem pengurusan prestasi sekolah ini penting bagi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan intervensi khusus berdasarkan kekuatan serta aspek yang perlu ditambah baik bagi memastikan keberhasilan murid dapat dicapai.

Fakta

6 Tip Mudah Bakar Kalori

Aktiviti berlari sememangnya memberikan banyak manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Ya, mungkin ramai yang lebih gemar berlari di jogging track atau di kawasan sekitar kediaman sahaja. Namun, pernahkah anda terfikir untuk berlari di tepian pantai? Ditemani hembusan angin pantai yang lembut dan pemandangan yang indah, pasti aktiviti riadah akan terasa lebih menyenangkan. Mari semak manfaat yang anda bakal dapat dengan hanya merubah trek larian anda.

Rencana Umum

SEMAI BAKAT ATLET NEGARA - Alumni Boleh Bantu Pacu Kecemerlangan Sukan Sekolah

SEBUT sahaja St. John’s Institution (SJI), Victoria Institution (VI), Methodist Boy School (MBS) dan Setapak High School (SHS), terdapat satu persamaan yang cukup terserlah mengenai institusi-institusi tersebut. Bukan sahaja sekolah-sekolah berkenaan mempunyai sejarah dan legasi tersendiri dari segi infrastrukturnya, kehebatan para muridnya tetapi juga dari aspek kecemerlangan sukan. Masing-masing dengan kehebatan yang tersendiri.

Tokoh Pendidikan

Tan Sri Abdul Rafie Mahat - Komited Semarakkan Budaya Membaca

Agenda melahirkan ‘intelektual muda’ melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) antara jasa Tan Sri Abdul Rafie Mahat yang terpahat dalam tinta sejarah pendidikan negara semasa beliau menjadi Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Rencana Umum

UNITY RIDE - Projek57

MENYEDARI akan pentingnya usaha mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga Malaysia, sebuah badan sosial, Projek57 menganjurkan acara berbasikal yang digelar Unity Ride baru-baru ini.

Rencana Umum

Pengenalan Subjek Sejarah Sekolah Rendah - Pupuk Nilai Nasionalisme Seawal Usia Muda

Mata Pelajaran Sejarah Sekolah Rendah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan (SJK) sejak tiga tahun lalu iaitu pada 2014 adalah usaha yang bertepatan dalam memupuk nilai patriotisme dan nasionalisme seawal usia muda murid-murid. Sebelum itu elemen sejarah hanya diterapkan dalam mata pelajaran Kajian Tempatan tetapi dengan pelaksanaan Mata Pelajaran Sejarah Sekolah Rendah ini maka pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek berkenaan menjadi lebih berfokus kepada sumber dan penghayatan nilai sejarah itu sendiri.

Kesihatan

Batuk dan Selesema Akibat Perubahan Cuaca

Perubahan udara dan suhu boleh mempengaruhi tubuh kita. Ketika perubahan cuaca berlaku, tubuh secara automatik akan berusaha menyesuaikan dengan suhu sekitar. Ketika itulah daya tahan tubuh boleh menurun. Keadaan ini yang kemudian menyebabkan kita mudah jatuh sakit.

Kolumnis

Kantin Sebagai Anjung Pupuk Perpaduan

Sekolah bukan sahaja menjadi tempat bagi seseorang murid menimba ilmu, pengetahuan dan kemahiran tetapi juga bertindak sebagai medan pemupukan hubungan etnik dalam kalangan murid. Di sekolah yang memperlihatkan murid daripada pelbagai etnik, bilik darjah merupakan persekitaran yang mendukung pelbagai aktiviti melalui pola pengajaran dan pembelajaran (PdP); yang mendorong interaksi dan sosialisasi dalam kalangan murid. Pelbagai aktiviti pembelajaran yang efektif di bilik darjah tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam merangsang dan memupuk interaksi dan sosialisasi yang positif dalam kalangan murid pelbagai etnik.

Kolumnis

Pendidikan Sejarah Mampu Bantu Kukuhkan Semangat Patriotisme

Sistem pendidikan Malaysia dirancang demi melahirkan modal insan yang seimbang daripada segi jasmani, rohani, emosi dan intelek. Itulah sebabnya sukatan pelajaran kita bukan sahaja merangkumi subjek berbentuk akademik tetapi juga bidang agama, moral, sivik, seni, muzik, sejarah dan sebagainya.

Destinasi

Melancong Sambil Berbakti di Siem Reap

Kemboja merupakan salah sebuah negara Asia Tenggara yang terkenal di serata dunia melalui Kompleks Kuil Angkor Wat yang kaya dengan keindahan seni bina Hindu abad Ke-12. Namun sekitar tahun 70an, negara ini menggemparkan dunia dengan kisah pemerintahan kuku besi parti komunis yang dikenali sebagai ‘Rejim Khmer Rouge’ pimpinan Pol Pot yang banyak mengorbankan rakyat mereka sendiri. Ikuti kisah penulis melancong sambil berbakti di negara tersebut dengan menjadi guru sukarela kepada anak-anak Kemboja.

Rencana Umum

Tulisan Berangkai (Cursive Handwriting) - Kebenaran & Kepentingannya Dalam Era Digital

Sistem Pendidikan kita hari ini, tidak lagi dimasukkan subjek ‘tulisan berangkai’ (cursive handwriting) dalam kurikulum sama ada sebagai teras mahupun sebagai pilihan yang boleh diambil oleh murid sekolah. Subjek ini sudah lama dipinggirkan oleh sistem yang telah diganti dan berubah dengan dasar baru yang lebih moden dan terkehadapan terutama penekanan kepada pembelajaran digital atau pembelajaran abad ke-21.

Halaman 1 dari 2